Assalamualaikum dan salam sejahtera.
1. Saya atau aku? Buat entri kali ini, AKU pilih aku. Tika ini umurku lebih kurang 16 tahun 5 bulan dan aku sudah berkecimpung dalam dunia penulisan blog dalam 2 tahun, entri pertama adalah pada 22 Ogos 2006. Tak lama dan taklah baru sangat. Orang lain tulis blog dari sekolah rendah lagi. Bergantung pada latar belakang, zaman serta minat.
2. Aku akui menulis dalam bahasa Melayu lebih menarik dan lebih bersifat “dari hati ke hati” kerana sememangnya bahasa ini, bahasa lidah dan mindaku. Tapi kebergantungan terhadap bahasa Inggeris adalah sangat tinggi sekarang dan aku ambil inisiatif untuk menulis blog dalam bahasa Inggeris formal untuk aku perbaiki cara berbahasaku.
3. Sebenarnya aku nak buat imbasan semula tentang blog aku. Biarlah aku namakan dengan versi masing-masing. Blog pertama @ v1 aku publish di Blogger. Waktu itu masih beta. Waktu itu juga, seronok rasanya dapat buat blog. Yelah, Anwar Ibrahim pun belum ade blog masa tu. xD Blog itu juga, aku tulis menggunakan bahasa lidah saja, tanpa pemurnian dari sudut tatabahasa dan struktur ayat. Pada hemat aku, adalah lebih baik. Rupanya mana-mana boleh saja. Tapi kali ini aku tulis bahasa formal. Kalau diungkap dengan kata-kata pasti melucukan tapi itulah hakikat bahasa baku Melayu.
4. Dalam setahun di situ. Aku teringin pula nak ada blog atas domain sendiri. Aku berpakat dengan kawanku yang memang minat dan hebat juga dalam teknologi maklumat (IT). Nama beliau Afiq. Ada juga buat blog, tapi sekerat jalan. Sambung tempat lain dengan blog lain.
Lalu daftarlah domain geng92.com bawah CGYHost, sekarang CGYNet, tak buat dah bisnes hosting rasanya. Banyak sangat memori buruk bersama CGYNet, malas aku nak ulas panjang. Blog itu (blog ni lah) aku buat juga atas nama yang sama. Aku import entri-entri dari Blogger dan pos semula ke sini. Hasilnya? Bolehlah tahan. v2 la katakan.
5. Cerita tentang blog v2 tak habis sampai di situ saja. Masa aku balik bermalam dari sekolah, itulah masa aku godek-godek dunia Internet dengan lebih mendalam. Ada maklumat-maklumat baru, isu-isu aku komen dalam blog. Atau ceritalah tentang diri. Entah macam mana, hosting masalah, tukar ke Internet-Webhosting, tahun 2008. Kos blog tinggi juga. Tapi kongsi duit, rasa murah sikit. Kalau ada lagi yang nak kongsi hosting ini, aku buka. Apa salahnya. Janji duit bayarlah.
v2 ada macam-macam pembaharuan dan kemaskini. Juga melalui pelbagai evolusi sejajar dengan zaman dan masanya. Korek-korek entri dulu, banyak juga walau hanya terkemaskini ketika cuti sekolah saja. Maklumlah, waktu sekolah, tak sempat. Kalau sekolah harian mungkin boleh.
6. Dipendekkan cerita, tup-tup dah tahun 2009. Tahun akhir sekolah menengah. Baru terasa lebih matang dan dewasa. Semakin lama, semakin kelakar (taklah kelakar sangat cuma kalau bayang jadi senyum sendiri) kalau godek entri dulu-dulu. Tak mengapa, xD Memang begitu lumrahnya meningkat dewasa.
7. Aku fikir dua tiga kali. Sama ada blog ini aku nak sambung lagi atau tidak. Kosnya RM110 setahun. Domain + hosting. Mungkin meningkat dek desakan ekonomi. Sering aku komen blog rakan-rakan agar istiqamah, tapi belum pasti diri istiqamah. Susah juga. SPM bukan main-main. Kena excellent biar berhadapan dengan pelbagai situasi. Itu yang bezanya. Lepas PMR, masih sekolah. Ada cikgu ada pagar sekolah. Lepas SPM, beda jauh. Tak ada lagi cikgu disiplin. Atas kemantapan keteguhan akidah dan iman masing-masing. Dunia sekarang beza dengan 10 tahun yang lepas. Begitu juga 10 tahun akan datang dengan waktu sekarang. Pasti.
8. Duit poket dan belajar aku sekarang masih lagi dengan mak ayah. Kad bank pun belum ada lagi. Akaun simpanan adalah. Topup handphone pon duit akaun CIMB ayah. Tak nafi sampai amik first degree pun masih pakai duit mak ayah tapi aku plan ambil biasiswa. Itu pun kalau keputusan SPM cemerlang. Pelan jangka masa panjang itu ada tapi belum jelas. Cita-cita pun belum jelas. Takkan mahu ikut arus saja.
9. Yang nak cerita sebenarnya pasal blog ini saja. Yang lain mencelah di kotak pemikiran saja. Apa pun, sekarang ini aku timbangkan semula untuk berada di dunia percuma semula. Hosting PHP dan MySQL percuma. Biar lambat asal ada mungkin. Kalau undur ke Blogger semula bererti berundur setapak ke belakang, menafikan peluang yang terbuka luas dalam dunia blog menggunakan Wordpress. Rugi pula rasanya.
10. v3 dalam tajuk entri ini, bermaksud kesediaan berpindah ke hosting percuma selepas SPM, kalau Afiq sudah tak beminat dengan hosting. Haluan pasti berbeza 10 tahun akan datang. Biar nama domain kekal. RM 30 saja untuk geng92.com. InsyaAllah, hasil mahsul iklan dalam blog boleh tampung perbelanjaan itu.
11. Inilah entri terpanjang yang aku karang, nukilkan bersama-sama dengan kesalahan ejaan dan tatabahasa.
Aku akhirkan dengan hadis Rasulullah S.A.W.
Dari Abu Hurairah r.a katanya: “Nabi saw. bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memperberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.”
(Riwayat Bukhari)
Sumber dari http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=822
Wassalam.
Recent Comments